Pendidikan adalah suatu proses pengajaran dan
pembelajaran yang melibatkan perhubungan atau komunikasi dan interaksi antara
individu. Misalnya, interaksi antara seorang ibu dengan anaknya atau seorang
pengikut dengan ketuanya. Ia juga boleh berlaku di antara individu dengan
beberapa individu lain seperti antara seorang anak dengan kedua ibu bapa atau
keluarganya atau dengan rakan sebaya, atau seorang guru dengan murid-muridnya.
Pendidikan
juga merupakan suatu proses komunikasi dan interaksi manusia dengan persekitarannya
seperti sekolah, media massa, tempat tinggal, pekerjaan dan tempat berkerja
serta institusi masyarakat lain. Oleh sebab pendidikan adalah suatu proses
menerima dan menyebar maklumat, maka ilmu dan budaya yang tersebar secara
langsung dan tidak langsung akan mempengaruhi perkembangan fizikal, sosial dan
rohani manusia. Proses ini berlaku sehingga manusia mencapai keserasian dalam
kehidupannya yang perlu berinteraksi dengan individu dan masyarakat serta alam
dan dalam keperluan beribadah kepada Tuhan .
Bagi
setiap negara merdeka, salah satu aspek penting yang amat dititikberatkan
dalam usaha untuk menuju ke arah negara maju dari aspek politik, ekonomi dan
sosial ialah penekanan terhadap perlaksanaan sistem pendidikan. Sistem
pendidikan yang dilaksanakan bukan sahaja kerana fungsi kebajikan dan
sosialisasinya, iaitu di mana kanak – kanak dididik untuk menjadi insan yang
berjaya dan mengenali budaya serta alam sekeliling, malahan juga boleh
digunakan sebagai wadah untuk menyampaikan sesuatu ideologi kepada
masyarakat. Hal ini dilakukan melalui proses pengajaran dan pembelajaran dalam
bilik darjah.
Pengertian
Sukatan Pelajaran dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(a) Sukatan Pelajaran
Kurikulum
Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang dilaksanakan pada tahun 1983, di samping
menegaskan matlamat mengembangkan kebolehan murid secara menyeluruh dalam
penguasaan kemahiran asas membaca, menulis, dan mengira (3M), juga menekankan
perlunya memberi perhatian terhadap perbezaan diri murid kerana setiap
murid berbeza di antara satu dengan lain sama ada dari segi pengalaman,
amalan tingkah laku kecenderungan, bakat dan kebolehan. Untuk memenuhi
keperluan-keperluan individu, maka KBSR menitikberatkan beberapa prinsip
pedagogi seperti dalam aspek pemulihan, pengayaan, penilaian, penggabungjalinan
dan penyerapan.
Antara
prinsip-prinsip pedagogi baru yang diperkenalkan dalam KBSR yang paling penting
dari pengurusan bilik darjah ialah pemulihan. Pemulihan ditakrifkan
sebagai proses pengajaran dan pembelajaran yang khusus untuk murid-murid yang
menghadapi masalah atau kesukaran belajar dalam menguasai satu-satu kemahiran
sama ada kemahiran membaca, menulis, atau mengira. Justeru, sukatan
pelajaran diperkenalkan sebagai satu set panduan kepada guru-guru menyampaikan
isi kandungan dengan menggunakan kaedah ditetapkan dengan tujuan untuk mencapai
aspek yang ditetapkan. Setiap sukatan pelajaran mempunyai perbezaan dan
persamaan yang telah digarispandukan kepada guru.
(b) Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)
Pada
asalnya, FPK dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Ia
diperkenalkan sekitar pertengahan tahun 1980-an. Sekitar tahun 1990-an, FPN
ditukarkan kepada FPK dengan sedikit pengemasan. Kandungan FPK sebagaimana
di bawah.
“Pendidikan
di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembang potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insane yang seimbang
dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”
Meneliti
setiap kata yang terkandung dalam (FPK) di atas, dapat kita perhatikan bahawa
matlamat atau hasrat kerajaan dalam sektor pendidikan di negara ini adalah
untuk melahirkan individu atau modal insan yang seimbang dalam semua segi sama
ada intelek, rohani, emosi mahupun jasmani (Roselan Baki, 2003). Bagi mencapai
matlamat ini, sudah pastilah tanggungjawab dipikul oleh mereka yang bergelar
guru dalam menerapkan segala aspek dalam kalangan pelajar bagi melahirkan modal
insan yang unggul dan dapat melaksanakan tanggungjawab ini. Penekanan dalam
aspek penyampaian ilmu melalui pengubalan kurikulum terpaksa dilakukan.
Hubungan
Kandungan Sukatan Pelajaran Dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Pendidikan
peringkat rendah adalah pendidikan yang bertujuan untuk melahikran insan yang
seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek,
rohani, emosi, dan jasmani selaras dengan hasrat Kurikulum Bersepadu Sekolah
Rendah dan Falsafah Pendidikan Negara. Pada peringkat ini, Bahasa Melayu
diajarkan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan status Bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Bahasa Melayu perlu dikuasai
pada peringkat awal bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu
pengetahuan, seperti kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah telah memuatkan
senarai kemahiran asas berbahasa dan tatabahasa yang perlu dikuasai oleh murid
dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Kemahiran-kemahiran berbahasa ini meliputi
kemahiran lisan (mendengar dan bertutur), membaca, dan menulis. Tatabahasa pula
meliputi aspek morfologi dan sintaksis bahasa Melayu (Abdullah Hassan, 1996).
Huraian
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah ini pula mengandungi perincian,
penjelasan serta huraian tentang Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu. Di dalam
Huraian Sukatan Pelajaran ini, dimuatkan senarai kecekapan berbahasa dalam
kemahiran mendengar dan bertutur, membaca, menulis, tatabahasa, penjodoh
bilangan, peribahasa, dan perbendaharaan kata yang sesuai bagi peringkat
persekolahan murid. (Roselan Baki, 2003).
Huraian
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (C)
dan Tamil (T) disempurnakan dengan mengambil kita tahap kebolehan dan kemampuan
murid di SJK(C) dan (T). Oleh itu, Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu
untuk SJK(C) dan (T) agak berbeza daripada Sekolah Kebangsaan dari segi
huraian, senarai kemahiran berbahasa, contoh-contoh peribahasa, tatabahasa, dan
jumlah perbendaharaan kata yang dicadangkan.
Huraian
Sukatan Pelajaran ini merupakan satu cadangan, dan guru-guru tidak seharusnya
terikat kepada cadangan-cadangan yang dikemukakan. Sekiranya didapati ada di
antara cadangan-cadangan ini tidak sesuai dengan keadaan bilik darjah,
guru-guru boleh mengubah dan menyesuaikannya dengan kebolehan dan kemampuan
murid. Huraian sukatan pelajaran ini juga boleh digunakan untuk merancang
pengajaran dan pembelajaran mengikut penggal, mingguan, dan harian di dalam
bilik darjah (Prof. Madya Dr. Nuraini Yusoff, 2003).
Matlamat
mata pelajaran Bahasa melayu sekolah rendah ialah untuk melahirkan murid yang
berketrampilan berbahasa dan menghargai serta menghayati bahasa Melayu sebagai
bahasa rasmi Negara, bahasa perpaduan dan bahasa imu, sesuai dengan semangat
Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu usaha yang berterusan kea
rah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu dan
usaha ini adalah semata-mat bertujuan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang
berilmu pengetahuan, berketerampilan dan berakhlak mulia.
Untuk
melihat sama ada objektif Sukatan Pelajaran dapat dikaitan dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan, adalah lebih elok bagi kita melihat dahulu apakah
objektif Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu yang digubal oleh Kementerian
Pelajaran untuk rakyat Malaysia. Dengan ini barulah kita dapat melihat adakah
Sukatan Pelajaran yang digubal selama ini mempunyai kaitan atau menjiwai ‘roh’ dan
semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Jika ia mempunyai kaitan, kita telah
pun berada di jalan yang betul dalam usaha untuk memartabatkan semangat
Falsafah Pendidikan melalui Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu yang diajar di
sekolah rendah di Malaysia. Cuma beberapa pendekatan yang terbaik perlu diberi
tambah nilai dari masa ke semasa untuk memantapkan pengakaran dan pembelajaran
Bahasa Melayu.
Menurut
kandungan Sukatan Pelajaran, setelah mengikuti pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Melayu di sekolah rendah, murid-murid dapat:
•
Mendengar, memahami dan menghayati pertuturan yang terdapat dalam kehidupann
sehari-hari;
•
Bertutur dengan petah dan mengeluarkan buah fikiran yang bernas serta
menggunakan bahasa yang sesuai dan bertatasusila;
•
Membaca dan memahami isi bacaan yang sesuai dengan kematangan;
•
Menjadikan pembacaan sebagai satu kebiasaan dan amalan bagi mendapatkan
pengetahuan dan hiburan;
•
Menulis pelbagai jenis karangan dan surat kiriman mengikut tajuk dan format
yang betul;
•
Memahami dan mengisi borang yang sesuai dengan betul;
•
Menghargai dan menghayati nilai-nilai estetika dalam karangan prosa dan puisi;
•
Menggunakan Bahasa Melayu untuk memperoleh pelbagai ilmu;
•
Menggunakan Bahasa Melayu yang betul dalam lisan dan penulisan;
•
Memberi makna dan menggunakan peribahasa dalam konteks yang betul dan sesuai;
•
Menggunakan Bahasa Melayu dengan berkesan untuk berkomunikasi antara ahli
masyarakat yang berbilang keturunan.
Strategi
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah
menekankan penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pengayaan, dan pemulihan.
Ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Namun demikian, guru-guru adalah digalakkan untuk menggunakan
pelbagai kaedah mengajar yang sesuai dengan kebolahan murid (Roselan Baki,
2003). Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran adalah bergantung kepada
pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu mengajar yang dapat merangsang dan
menggalakkan murid-murid berkomunikasi, berinteraksi dan berfikir.
Sebelum
kita melihat dengan lebih lanjut kaitan antara Falsafah Pendidikan Kebangsaan
dengan strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, adalah lebih baik
kita lihat bentuk-bentuk strategi pengajaran dan pembelajaran.
Penggabungjalinan
memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui
proses ini, beberapa kemahiran dapat dikuasai serentak. Cara ini juga dapat
mengelakkan kebosanan dalam proses pembelajaran. Kemahiran-kemahiran boleh
digabungjalinkan, sama ada kemahiran yang terdapat dalam kemahiran berbahasa,
atau kemahiran daripada mata pelajaran lain.
Dalam
pengajaran Bahasa Melayu, unsur-unsur ilmu dan nilai-nilai murni juga boleh
diserapkan. Penyerapan ini mengandungi pelbagai bidang ilmu seperti Sains,
Matematik, Sejarah dan lain-lain.
Dalam
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah, program pengayaan perlu diberi penekanan
kerana keadaan murid yang berbeza dari segi kebolehan, keupayaan, bakat dan
minat. Bahan-bahan yang berbeza hendaklah diberi kepada murid-murid sama ada
untuk digunakan secara bersendirian atau dengan bimbingan guru. Bahan-bahan
seperti bahan bacaan tambahan, kad-kad kerja, permainan dan bahan-bahan aktiviti
boleh diberikan kepada murid-murid yang telah menguasai kemahiran-kemahiran
dalam jangka masa yang telah ditetapkan atau lebih awal daripada jangka masa
yang ditentukan.
Murid-murid
yang belum menguasai kemahiran-kemahiran asas dalam tempoh yang telah
ditetapkan disedikan dengan program atau aktiviti pemulihan. Bahan-bahan untuk
program ini terdiri daripada kad-kad, carta, bahan maujud, alat permainan, dan
lain-lain yang boleh digunakan berperingkat-peringkat daripada yang mudah
kepada yang lebih sukar. Perlaksanaan program ini adalah mengikut kadar
kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran.
Penilaian
merupakan sesuatu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi
menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran dan pembelajaran. Penilaian
dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh
itu, penilaian perlulah dijalankan berterusan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Melalui proses penilaian berterusan dapat dipastikan jenis
tindakan susulan yang perlu diambil ke atas seseorang murid, sama ada untuk
menjalankan pemulihan atau pengayaan. Setelah itu barulah dapat dipastikan
jenis aktiviti pemulihan atau aktiviti pengayaan yang sesuai bagi murid-murid.
Dengan cara yang sedemikian, selain mengetahui tahap pencapaian, kelemahan
murid dapat dipulihkan sebelum kelemahan-kelemahan pembelajaran terkumpul di
tahap yang lebih tinggi.
Kesimpulan
Setelah
melihat objektif dan matlamat sukatan pelajaran Bahasa Melayu secara jelas
seperti yang dinyatakan di atas, apakah kita dapat menghuraikan apakah terdapat
kaitan antara Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan?
Dengan
merujuk kepada definisi Kurikukum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR), matlamat
serta ciri-ciri KBSR itu sendiri, saya dapati KBSR akan mampu mencapai matlamat
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyatakan
bahawa pendidikan itu suatu proses yang berterusan. Sebagai saluran pendidikan
pada peringkat awal, KBSR sememangnya memikul tugas yang amat berat. Ini kerana
pada peringkat permulaannya segalanya bermula. KBSR akan memastikan pendidikan
yang diberikan kepada pelajar memuaskan dan menepati ciri-ciri yang diinginkan.
Pendidikan awal adalah penting kerana ia membentuk asas sahsiah yang akan terus
berkembang hingga ke akhir hayat nanti. Oleh itu, KBSR menekankan kemahiran
asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Dengan kemahiran-kemahiran asas
yang teguh dan mampat, segala proses pendidikan yang akan ditempuhi oleh
pelajar menjadi mudah (Abdullah Hassan, 1996).
KBSR
menitikberatkan soal nilai-nilai murni dan semangat patriotisme dalam proses
pengajaran dan pembelajarannya. Dengan ini, Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang
menginginkan insan yang harmoni dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi
dan jasmani akan tercapai. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, KBSR bukan
sahaja menekankan soal penyampaian ilmu pengetahuan bahkan setiap guru
dikehendaki menyelitkan penerapan nilai-nilai murni kepada pelajar semasa
proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Selain itu, dalam
seminggu hari persekolahan akan terdapat dua masa untuk matapelajaran
Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Ini melambangkan KBSR amat menitikberatkan
soal kesihatan para pelajar supaya pelajar tidak hanya memerah otak dalam sesi
pembelajaran matapelajaran lain tetapi mereka juga boleh berekreasi dan
menenangkan fikiran dengan bersenam dan bersukan.
Seterusnya,
unsur Falsafah Pendidikan Kebangsaan ingin melahirkan rakyat yang memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Sehubungan
dengan itu, KBSR menekankan kemahiran berfikir dalam sistem pendidikan pada
peringkat awal. Melalui ciri ini pelajar bebas meluahkan pendapat dan mencipta
sesuatu yang baru. Secara tidak langsung hasil kreativiti pelajar akan terus
digilap dan dihargai. Oleh itu, maka lahirlah generasi yang mampu memberi
sumbangan dalam pelbagai bidang.